Presiden MPT Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, angka itu dijangka boleh meningkat sehingga RM8 juta bergantung kepada perkembangan situasi semasa.
“Ia termasuk polisi kerajaan yang mahu mengurangkan beban rakyat termasuk pengecualian bayaran tapak penjaja dan sewa kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Sejak PKP dilaksanakan pada Mac lalu sehingga sekarang, MPT sudah kerugian sebanyak RM4 juta,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Tambah Amrullah, ekoran keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember depan, MPT turut melanjutkan tapak tanpa bayaran sewa penjaja selain rebat kepada beberapa perniagaan lain dibawah kelolaannya.
“Justeru, mengikut kajian yang dibuat, kami menjangka akan kehilangan antara RM3 juta hingga RM4 juta lagi sehingga hujung tahun ini.
“Bagaimanapun, MPT terus memberikan komitmen dalam membantu penduduk di daerah ini yang kehilangan pendapatan selepas perlaksanaan PKP dan PKPB,” katanya.
Justeru, menurut Amrullah, antara tindakan MPT dalam membantu rakyat ‘survive’ melalui perlaksanaan tamu sekitar daerah ini.
Terdahulu beliau merasmikan tapak Tamu Jumaat dan Sabtu Kinabutan Batu 5 (TJSK), di sini, semalam.
“TJSK adalah gabungan dua tamu iaitu Tamu Batu 8 dan Batu 5 sendiri yang diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu di dua lokasi berlainan.
“Selepas tidak beroperasi sepanjang PKP, MPT menerusi mesyuarat Majlis Kaunselor memutuskan untuk menutup Tamu Batu 8 dan memindahkannya ke Batu 5 untuk menyediakan tapak perniagaan lebih luas dan selesa bagi semua pihak,” tambahnya.
Tambahnya sebanyak 214 tapak gerai penjaja MPT menyediakan di TJSK berbanding 184 di Batu 8.
“Dengan pembukaan TJSK ini, ia dapat mengatasi masalah kesesakan di Tamu Batu 8 khususnya melalui perlaksaan penjarakan fizikal sepanjang PKPP.
“Selain itu, penutupan Tamu Batu 8 juga dibuat disebabkan faktor keselamatan pengunjung akibat ketiadaan parkir serta sering berlaku kemalangan di situ,” katanya.
Sementara itu, penjaja yang ditemui Sahibah Zaid, 59, berharap agar pulangan perniagaan mereka menjadi lebih baik di TJSK.
“Dari segi keselesaan, sudah pasti di sini lebih luas berbanding di Batu 8.
“Namun, apa yang penting sudah tentu kami mengharapkan tamu ini boleh menarik ramai pengunjung,” katanya.- BorneoToday
0 Comments