MPT dijangka kerugian RM7 Juta Akibat Covid-19



TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dijangka hilang punca pendapatan sebanyak RM7 juta sehingga akhir tahun ini disebabkan krisis pandemik Covid-19.

Presiden MPT Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, jumlah itu dijangka akan meningkat sehingga RM8 juta bergantung kepada perkembangan keadaan dari masa ke semasa.

“Ini termasuk polisi kerajaan dimana mahu mengurangkan beban rakyat termasuk pengecualian bayaran tapak penjaja dan sewa kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Sejak PKP dilaksanakan bermula Mac lalu sehingga sekarang, MPT telah kehilangan pendapatan sebanyak RM4 juta,” katanya kepada media, semalam.

Tambah Amrullah, berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember depan, MPT turut melanjutkan tidak mengenakan bayaran tapak sewa penjaja selain rebat kepada beberapa perniagaan lain dibawah kelolaannya.

“Berdasarkan kajian yang dibuat, kami menjangka bakal kehilangan antara RM3 juta hingga RM4 juta lagi sehingga hujung tahun ini.

“Bagaimanapun, MPT akan terus komited 
 bagi membantu penduduk di daerah ini daripada kehilangan pendapatan selepas perlaksanaan PKP dan PKPB,” katanya.

Justeru, menurut Amrullah, antara langkah MPT bagi membantu rakyat ‘survive’ menerusi perlaksanaan tamu di sekitar daerah ini.

Terdahulu beliau merasmikan tapak Tamu Jumaat dan Sabtu Kinabutan Batu 5 (TJSK), di sini, semalam.

“TJSK adalah gabungan antara dua tamu iaitu Tamu Batu 8 dan Batu 5 yang diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu di antara dua lokasi berasingan.

“Selepas ditutup sepanjang PKP, MPT menerusi mesyuarat Majlis Kaunselor memutuskan untuk menutup Tamu Batu 8 dan memindahkannya ke Batu 5 bagi menyediakan tapak perniagaan lebih luas dan selesa buat semua pihak,” tambahnya.

Katanya lagi sebanyak 214 tapak gerai penjaja disediakan di TJSK berbanding 184 di Batu 8.

“Dengan pembukaan TJSK ini, ianya dapat mengatasi masalah kesesakan di Tamu Batu 8 khususnya bagi perlaksaan penjarakan fizikal sepanjang PKPP.

“Selain itu, penutupan Tamu Batu 8 juga dibuat atas faktor keselamatan pengunjung kerana kekurangan parkir serta sering berlaku kemalangan di situ,” katanya.

Menurut penjaja yang ditemui Sahibah Zaid, 59, berharap agar pendapatan perniagaan mereka menjadi lebih baik di TJSK.

“Dari segi keselesaan pula, sudah tentu di sini lebih luas berbanding di Batu 8.

“Namun, apa yang penting kami mengharapkan tamu ini mampu menarik ramai pengunjung,” katanya.- BorneoToday

Post a Comment

0 Comments