Perlu Segera Putuskan Ketua Menteri. "Wakil Rakyat Akan Guna Macam-Macam Alasan Untuk Lompat Parti" - Rahezzal




KUALA LUMPUR: Pelantikan Ketua Menteri Sabah perlu diputuskan secepat mungkin untuk memastikan tiada wakil rakyat yang menjadikan alasan lambat memilih untuk mereka 'lompat parti'.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Rahezzal Syah Abdul Karim berkata, pelantikan jawatan Ketua Menteri Sabah itu tidak sepatutnya dilengah-lengahkan demi kepentingan rakyat negeri Sabah.

"Saya cuma nak cakap, di Sabah apa sahaja boleh jadi. Apabila kata rundingan berasingan, mungkin sebab tak nak pergaduhan, jadi mereka selesaikan di parti masing-masing.

"Pelantikan ini perlu dilakukan secepat mungkin. Makin lama, ada individu guna ini untuk alasan beralih. Wakil-wakil rakyat ini akan guna macam-macam alasan (untuk lompat parti)," katanya dalam program Sabah Memilih di Saluran Astro AWANI 501 semalam.

Tegasnya, tiada alasan lagi untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil masa yang lama untuk membentuk kerajaan baharu.

"Tidak ada alasan bagi GRS untuk menubuhkan kerajaan secepat mungkin. Tumpuan sekarang adalah COVID, COVID, COVID,ekonomi, ekonomi , ekonomi.

"Lebih lama mereka memanjangkan proses untuk melantik Ketua Menteri, maka rakyat sudah pandai marah sudah."

Beliau menambah, proses ini perlu dilakukan segera dan lakukan yang terbaik. Ingat, kayu pengukur pengundi bukan lagi lima tahun. Harapan pengundi itu tinggi.

Terdahulu, Perdana Menteri pernah menyatakan jika Perikatan Nasional memenangi PRN Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah. Tetapi siapa yang akan dilantik dan apakah formula pelantikan itu? Sama-sama kita nantikan.

Post a Comment

0 Comments