Walaupun usaha menangani gelombang ketiga COVID-19 lebih mencabar berbanding gelombang pertama sebelum ini yang bermula Mac lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) kini lebih bersedia dalam menangani wabak itu.
Dakwaan yang wabak COVID-19 di Sabah bertambah buruk selain berlaku pelbagai kekurangan termasuk katil di hospital dan peralatan perlindungan diri (PPE) adalah tidak benar - Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Selain mobilisasi petugas dan peralatan yang telah digerakkan awal, kerajaan juga meluluskan perolehan kecemasan RM25 juta iaitu RM18 juta untuk PPE dan RM7 juta untuk diagihkan kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah.
Di Sabah terdapat sembilan Hospital COVID-19 dan 28 Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah (PKRC) dengan sejumlah 8,539 katil disediakan dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan stok PPE di Sabah untuk memastikan bekalan tidak terputus.
Sebanyak 149 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) disediakan dengan penggunaan setakat ini sebanyak 60% dan alat bantuan pernafasan adalah sebanyak 193 unit dengan penggunaan sebanyak 27%.
Sebanyak 7.7% jangkitan adalah di dalam penjara namun penularan itu dapat dikawal dan KKM akan meningkatkan aktiviti kawalan di penjara, depot tahanan imigresen dan depoh tahanan sementara di Sabah.
Malah sebelum pilihan raya negeri baru-baru ini, KKM bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetatkan kawalan sempadan dan sekatan jalan raya bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.
Persediaan lain juga dilakukan lebih awal dari itu tetapi ia tidak diumumkan dari segi mobilisasi kakitangan hospital, peralatan dan lain-lain ke hospital terlibat.
Kapasiti makmal adalah dalam tahap maksima pada masa ini dan tunggakan sampel ujian dijangka dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari lagi.
Sumber : Bernama
0 Comments