Keningau - 2 Kanak-kanak Hilang Selepas Kenderaan Hanyut Akibat Banjir

Toyota Hilux yang dinaiki 2 kanak-kanak hilang ditemui tidak jauh dari kawasan ia hanyut di Kampung Dangulad, Keningau awal pagi tadi. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)


KENINGAU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan adik perempuannya yang berusia 4 tahun dilaporkan hilang, selepas kenderaan dipandu ayah mereka dihanyutkan arus deras ketika melintasi jambatan di Kampung Dangulad. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pengiran berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12.08 tengah malam tadi.

“Pemandu kereta terbabit berjaya menyelamatkan diri, namun 2 anaknya yang masih di dalam kenderaan dihanyutkan arus deras berikutan air Sungai Liawan naik secara mendadak.

“Kenderaan yang dinaiki mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi ianya mula hanyut, namun 2 kanak-kanak terbabit didapati hilang.

“Setakat ini, 2 beradik itu belum ditemui dengan operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mudi berkata, 2 rumah turut hanyut, manakala 5 lagi rumah dimasuki air serta lumpur selepas Sungai Pampang di Keningau melimpah.

Katanya, banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada limpahan air dari bukit akibat hujan.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu.

“Air mula surut tidak lama selepas itu, dengan operasi dan pemantauan dilakukan pihak bomba bersama agensi lain, termasuk polis serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.”

Sungai Pampang dan Sungai Liawan antara sungai yang terjejas akibat badaian ribut tropika Greg pada 1996.

Bencana pada 26 Dis itu meragut 238 nyawa dan 102 orang yang dilaporkan hilang tidak ditemui sehingga kini. 

Pada 17 Dis 2017, 10 rumah di Kampung Pampang dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat.

Kredit: Free Malaysia Today


Post a Comment

0 Comments